PUSAKA bakal pentaskan Main Teri di Paris 7 Jun ini - Berita Harian Online
Kuala Lumpur: Organisasi budaya, PUSAKA bakal mementaskan persembahan seni tradisional Kelantan, Main Puteri atau Main Teri di Festival de l'Imaginaire yang bakal berlangsung pada 7 Jun ini.
PUSAKA dalam kenyataan medianya, persembahan itu adalah atas undangan pertubuhan Maison des Cultures du Monde, Paris.
Persembahan itu yang bakal diadakankan di Theatre de l'Alliance Francaise akan menampilkan adiguru seni Main Puteri antaranya Che Mohd Zailani Che Moh; Muhd Noor Arifin; Ahmad Shaifuldin Jusoh serta pemuzik daripada kalangan bakat muda Kelantan termasuk pemain rebab Kimi Anak Limbat pemain serunai Syakil Yusoff dan pemain gendang Alang Rebanamas.
Pengasas PUSAKA, Eddin Khoo berkata persembahan itu menjadi platform terbaik untuk menyerlahkan lagi bakat seniman dalam bidang kebudayaan dan kesenian di persada antarabangsa.
"Ini adalah kali kedua kami (PUSAKA) dijemput untuk membuat persembahan di sana selepas kejayaan persembahan seni tradisional Makyong, Menora dan Wayang Kulit pada 2007.
"Kami berbangga dan berbesar hati diberi peluang untuk mementaskan Main Puteri dalam satu festival yang terkemuka dalam usaha mengangkat martabat dan memperkasakan seni tradisional (tanah air) di luar negara," katanya.
Persembahan Main Puteri Kelantan adalah satu-satunya persembahan dari Asia
Tenggara yang dijemput ke Festival de l'Imaginaire, Paris tahun ini.
Program ini turut mendapat sokongan daripada Kedutaan Besar Malaysia di Paris, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, dan MyCreative Ventures.
Sementara itu, Pengerusi MyCreative Ventures, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, berkata pihaknya menyokong usaha membawa adiguru seni warisan tidak ketara Malaysia ke persada dunia.
Festival de I'Imaginaire, diasaskan pada 1997 oleh Maison des Cultures du Monde, menawarkan pentas kepada rakyat dan tamadun dunia kontemporari dan bentuk ekspresi yang langka dan luar biasa, menyumbang kepada dialog antara tamadun, kerjasama antarabangsa dan memelihara kepelbagaian budaya.